Ini sebuah fiction tentang aku.
Januari 2002.
Masa aku datang KL dulu, umur aku 18 tahun. Masih belum cukup 18 lagi sebenarnya. Tapi aku suka genapkan terus ikut tahun terbaru. Pertama aku akan genapkan umur ikut tahun sebab : aku tak pernah ingat hari lahir aku bila tiba masanya. Kedua sebab aku memang tak suka hari lahir aku diraikan.
Kau tahu? Bila orang meraikan hari lahir kau, itu bermakna mereka menghargai kau. Dan aku akan tersentuh bila aku tahu, aku dihargai.
Aku benci bila melalui saat itu.
***
Malam pertama tiba di KL, aku tidur di sebuah dataran berhadapan Puduraya. Bukan aku saja, malah berpuluh-puluh lagi orang tidur di situ. Semua mereka kelihatan senior, kerana adanya kotak-kotak yang telah lusuh berlapis-lapis mengalas tubuh. Aku ketika itu berbantalkan beg untuk mengalas kepala. Di sebelah aku seorang lelaki yang agak gelap kulitnya tidur terlentang dangan mulut ternganga. Tapi senyap saja, tak dengar dengkuran yang mengganggu.
Suasana di sini sudah tentu bukan suasana yang elok. Bising dengan bas keluar masuk, kereta yang tak berhenti, dan motor yang runcing bunyinya. Udara agak sikit panas, hingga ada antara mereka yang tidur membuka baju. Cuma apabila hampir dinihari, baru udara agak sedikit sejuk menyusuk hingga ke tulang-temulang. Aku bangun memakai baju duatiga lapis untuk menahan kesejukan.
Sebenarnya sepanjang malam itu aku tak senang tidur. Sekejap-sekejap akan terbangun. Kadang-kadang aku juga khuatir dengan keselamatan di sini. Mungkin ada orang jahat yang akan mencuri beg aku. Ini bukan kehidupan yang aku mahu untuk selamanya di KL. Dan aku datang ke sini juga bukan untuk ini.
Malam itu baru aku mengerti, kenapa dalam filem selalu dikatakan KL itu kejam!
***
Selang beberapa hari kemudian, aku sudah dapat tempat tidur yang agak selesa berbanding malam pertama dulu. Di sini tidak terlalu bising, dan apabila hujan tak perlu lagi lari berteduh berhampiran 7 Eleven depan Puduraya tu.
Aku sekarang di Bawah Jambatan!
Lokasi jambatan ini biar aku cerita pada kamu. Kamu tahu Pasar Budaya? Di hujung Pasar Budaya ada sebuah kedai mamak berhampiran dengan lot lot para pelukis. Dan hujung jalan ada sebuah jambatan bukan? Ye! Situlah tempat aku.
Aku tidak seorang. Ada bersama masa itu dua orang lelaki yang teruk rupa paras mereka. Dan mereka menjadikan tempat itu sebagai port untuk lepas gian. Ya! Mereka penagih. Sesekali mereka akan datang membawa sebungkus air panas. Membakar penutup botol ubat batuk dan mencairkan serbuk khayalnya. Selepas itu jarum suntikan itu akan menusuk salah seorang terlebih dahulu. Oh ya! Air panas itu tujuannya adalah digunakan untuk mensterilkan jarum yang akan dikongsi. Mereka orang baik, cuma saja mereka tidak ada fikiran hingga jadi sebegitu rupa. Atau mungkin mereka ada fikiran, tapi otaknya tak begitu cerdas hingga terpukul dengan ganasnya dunia.
Tidur di sini tidak ada apa yang perlu dirisaukan sebenarnya. Ia jauh dari orang ramai, walaupun di atas jambatan ini suasananya tidak begitu. Cuma apabila hujan turun aku perlu berjaga-jaga. Jika terlalu lebat. Air sungai akan naik dan mungkin menenggelamkan tempat ini. Jadi apabila hujan selalunya aku hanya akan tidur-tidur ayam, sambil sesekali melihat air di tebing. Dan apabila pasti tempat ini akan tenggelam. Aku segera mengemas barang dan naik ke atas melalui tangga di tepi jambatan. Jadi jika keadaan itu berlanjutan. Maknanya aku akan tidur di mana saja malam itu. Hanya untuk semalam saja.
Esok siangnya, apabila air telah surut lazim tempat itu akan bersih. Bersih dari sampah sarap yang dihasilkan oleh dua orang penagih itu. Oh ya! Lupa aku nak beritahu. Mereka juga kadang-kadang akan berak di situ. Di satu sudut tak jauh dari tempat aku tidur. Jadi air yang naik akan membersihkan semuanya.
Bagus!
***
Setiap hari aku perlu bangun awal. Waktu itu rezeki akan melimpah masuk, banyak kereta yang akan parking di sepanjang jalan berhampiran sungai ini. Sepatutnya mereka tak perlu bayar, sebab petak parking itu adalah parking awam dan percuma. Tapi mungkin kerana kasihan pada aku yang pura-pura membantu dia masuk ke petaknya dengan sempurna, maka sedikit habuan disediakan. Atau mungkin juga mereka melakukan itu sebab tak mahu kereta dicalar.
Sumpah aku tak akan buat begitu!
Cuma bila mereka keluar, aku akan senyum. Jika ada rezeki, adalah. Dan tak kurang juga yang buat tak peduli langsung dan terus pergi melulu. Itu hak mereka, terpulang. Cuma tak salah kalau dia bermanis muka sedikit dengan aku rasanya.
Sebenarnya untuk jaga parking haram di sini bukanlah semudah yang disangka. Semua tempat sudah ada yang mengaku pemiliknya. Dan aku pun hanya ambil peluang jaga di sini pada waktu pagi, bila Pak Wan masih belum tiba. Lazimnya dia akan tiba pada jam 11 pagi lebih kurang. Bila dia datang, maknanya segala kereta dan rezeki yang masuk adalah hak dia sekarang. Dia senior di sini. Sudah beri aku tempoh beberapa jam setiap hari pun sudah seribu rahmat rasanya.
Jadi selepas Pak Wan tiba, selalunya aku akan pergi ke kedai-kedai mamak di SelangorMansion. Di belakang Jalan Tar. Ada yang panggil kedai mamak di Parit. Ia betul-betul berhadapan sungai ataupun parit, yang mana jelas kelihatan bangunan Maybank. Teh tarikh situ adalah yang termurah dalam KL. Ketika itu teh tarik gelas kecil cuma berharga 0.70 saja.
Jadi teh tarik dan roti telur setiap hari menjadi sarapan juga merangkap makan tengahari aku. Dengan baki duit ada, masih cukup untuk membeli roti krim bagi makan malam nanti. Makan nasi pula sekali-sekala. Kalau dah makan nasi, maknanya ia adalah satu-satunya makanan aku untuk hari itu. Kalau makan nasi pun, seingat aku tak pernah ambil macam-macam. Yang penting nasi lebih dan seketul ayam goreng.
bersambung....
1 komen:
survival of the fittest
Post a Comment