11 January 2012

Perjalanan Untuk Pembunuhan ep 7

Pak Cik bawak teksi dekat Kangar ni sehari dapat 2 trip je. Dia keluar dari pukul 7 pagi tadi lagi. Trip pertama tadi dapat RM 8, dan sekejap lagi trip yang kedua ini dapat RM 12. Jadi keseluruhan sampai petang ini dia bakal dapat RM 20. Paling kuat pun Pak Cik ni kata kejap lagi boleh 1 trip je lagi. Itupun tak tentu ada. Takpelah...

Pak Cik teksi ni boleh hantar penumpang dari Kangar ke Kuala Perlis, tapi dia tak boleh ambil penumpang dari Kuala Perlis untuk ke Kangar. Itu piagam yang telah dipersetujui oleh dua union tersebut. Tapi kalau di tengah jalan nak ke Kangar ada penumpang, Pak Cik masih boleh ambil. Cuma jangan ambil di Pekan Kuala Perlis. Tak boleh, ini kawasan lain. Tapi selalunya Pak Cik akan pulang kosong. Takpelah...

Dulu dekat sini ada satu syarikat bas Pak Cik ni kata. Tapi lama-lama dia pun tutup. Tak boleh cari makan. Mana tidaknya, kadang-kadang sehari satu bas tu cuma dapat 4 orang penumpang je. Macam mana syarikat bas tu nak bayar gaji pekerja? Nak isi minyak pun tak lepas. Last-last pekerja bas mogok, jadi lebih baik dia tutup je. Takpelah...

Sekarang Mara dah ambil alih perkhidmatan bas di Kangar ni. Sehari bas akan lakukan lebih kurang 2 trip. Itupun kadang-kadang tak ada penumpang. Kalau bas rosak, lebih baiklah dibiarkan rosak tak berjalan. Kalau jalan pun bukan dapat apa sangat. Sebab Mara dah ambil alih ni, maka bertahanlah sikit. Tapi itupun dengar cerita dah nak nyawa-nyawa ikan jugak. Takpelah...

Kalau Pak Cik ni dengar cerita orang bawak teksi dekat KL mesti panas hati. Itu belum lagi dengar hal orang bawak beca dekat Melaka. Beca dekat Melaka 1 jam RM 40, bawak pusing Banda Hilir. Kalau dapat 2 jam dah RM 80. Banda Hilir bukan besar sangat pun, boleh main ngelat lagi, bawak pelancong pergi Kota Santiago, tangkap gambar lama-lama dah buang masa. Sepanjang pemerhatian gua dari atas gereja St Mary, Brader bawak beca tak menang tangan nak layan pelancong. Habis 1 trip lepak kejap 2 ke 3 minit dah dapat trip baru. Penat... tapi takpelah...

Sampai Jeti Kuala Perlis, Amri Ruhayat bagi Pak Cik teksi RM 20. Baki RM 8 sama dengan trip Pak Cik yang pertama tadi. Pak Cik nak pulang baki tu. Tapi Amri kata, takpelah...


0 komen: