Sewaktu hentaman itu berlaku segala di sekeliling bagaikan beku. Kekasih yang sedang mencumbui kekasihnya terhenti, melupakan. Semua nyawa tertumpu pada lelaki itu. Dia sudah terkulai berlumuran darah akibat dilanggar kencang kereta merah.
Pemandu perempuan yang pucat muka terdiam di kerusi. Kaget. Orang ramai setelah sedar dengan realiti segera bergegas memberikan bantuan dan meninggalkan kekasih mereka. Harap cuma untuk sebentar.
Sewaktu ambulan sampai. Si pemandu telah menangis ketakutan, dan mungkin rasa bersalah. Dia ditenangkan oleh beberapa wanita lain, yang kekasihnya ikut membantu mangsa tadi. Si pemandu mungkin saja tebal rasa bersalah, kerana pelanggaran itu terjadi kerana kecuaiannya.
******
Di luar kereta hujan sudah mula turun renyai-renyai. Telefon di hempaskan ke kerusi tempat penumpang di sebelah. Ini bukan sekali kekasihnya membikin dia marah sebegini. Tapi kali ini dia benar-benar nekad untuk menjauhi lelaki yang ternyata lebih banyak membuatnya sakit hati itu. Dan ini adalah keputusan yang nekad.
Sekali lagi telefon berdering. Biarkan, usah dijawab panggilan itu. Deringan terhenti. Namun beberapa minit kemudian, sekali lagi ia berdering. Wanita makin meluat, dan lelaki makin tidak mahu berhenti.
Telefon dijawab, dengan suara yang sebal. Ini untuk terakhir kali dan wanita mahu memutuskan pertalian. Drastik. Hujan kini makin lebat.
Tapi lelakinya memang begitu, kerap membuat dia marah, namun tetap sayang. Dan untuk sekali lagi dalam perhubungan yang neraka itu, wanita menerima permohonan maaf.
Dan dalam pada itu entah bagaimana dia terasa telah terlanggar sesuatu dan dentuman maha dasyat!
******
Lelaki merenung tepat ke wajah kekasihnya. Sekali lagi dia mahu pergi untuk malam ini. Dan bukan malam ini saja, malah mungkin untuk malam-malam seterusnya. Segala perancangan indah yang telah disusun sebenarnya adalah sesuatu yang sia-sia. Tiket wayang kisah cinta teragung yang sudah terlepas masa tayangannya. Dan masa berduaan di pancuran yang telah hujan telah mula turun renyai-renyai.
Wanitanya telah jatuh cinta dengan lelaki lain.
Itu saja...
Mungkin kedengaran agak jahat kan? Tapi hakikat tidak begitu. Jatuh cinta itu bukan salah, dan bukan dosa. Sungguhpun dengan lelaki lain. Kerana perasaan bukan sesuatu yang mudah untuk dikawal. Tapi yang berat sekarang ialah lelaki ini, bagaimana dia mahu mengawal perasaannya? Setan!
Sewaktu kekasihnya pergi. Dia sudah tidak punya apa lagi sebenarnya. Satu perasaan kosong yang remuk saja. Hujan sudah makin lebat. Perlahan dia turun ke jalan raya, melintas tanpa menghiraukan segala apa yang ada, tanpa menghiraukan segala kemungkinan. Bagaimana dia mahu hidup lagi selepas ini? Mati lebih baik...
Dan sebuah kereta merah sedang meluru dengan laju...
3 komen:
Sobs sobs..:(
hmm.. sedap.. ter addict.. mencikkkkkk..
sedihnye.... =(
Post a Comment