20 December 2011

Kisah Pelukis Dan Lukisannya.

"Apa kau dah gila?"

Tapi Dia tetap dengan keputusannya. Tak mahu berganjak. Apa yang Dia lakukan itu memang bukan sesuatu yang boleh untuk aku pertikaikan. Tapi oleh kerana sebab Dia jugalah, aku khuatir nanti, semua orang lain akan mula pertikaikan.

"Lantaklah!" katanya tegas.

Aku tak tahu dari mana perempuan ini dapat kedegilan yang amat sangat. Untuk pendatang baru Dia meletakkan harga RM 100 ribu bagi lukisan yang kasar itu. Gila!

Sekarang lukisan itu digantung di ruang galerinya, yang mana galeri ini juga adalah rumah kami. Aku mengenali dia kira-kira 5 tahun lepas, dalam satu temasya meraikan pelancaran pameran lukisan seorang pelukis terkenal tanahair.

Tapi aku bukan pelukis, cuma suka mengambil gambar objek yang kelihatan menarik. Contohnya macam Dia.

"Sayang... kau masih baru, orang tak kenal kau lagi. Harga kau letakkan untuk karya kau tak lojik." Aku cuba memujuk Dia satu malam.

"Suatu hari nanti Karya aku akan jadi mahal sayang." Cuba meminta aku untuk faham.

"Ye betul. Tapi bukan sekarang, itu suatu hari nanti bila karya kau diangkat."

"Aku yang akan mengangkat karya aku sendiri."

Aku memang tak rajin berbalas dengan Dia sebenarnya. Dalam mana-mana pertikaman lidah juga aku sering mengalah. Entahkan hujah Dia yang terlalu kuat, atau idea aku yang terlalu lemah. Aku tak tahu. Tapi yang selalu menang, adalah Dia.

Setelah 2 tahun usia perkahwinan, kami dikurniakan seorang anak perempuan. Matanya bulat seperti mata Dia, bentuk juga mengikut mamanya.

Dan selepas itu harga lukisan tadi telah dinaikkan menjadi 300 ribu. Aku sudah malas hendak berkata lagi. Biarkanlah, kerana lukisan itu memang tak ada siapa pun yang akan membeli. Cuma akan tergantung terus di ruang galeri, yang masih lagi rumah kami juga.

Anak ini rupanya sudah mula menunjukkan minat seperti mamanya. Setiap hari bermain dengan warna. Malah lebih mengenali berus warna dan kanvas berbanding pensil dan buku. Aku tidak ada masalah untuk itu. Kerana aku juga dulu jatuh cinta padanya kerana keindahannya, dan keindahan yang dihasilkan olehnya.

****

Kini usia anak kami sudah 35 tahun. sedang berhujah pada setiap pengunjung tentang makna komposisi dalam karya. Semua kelihatannya sangat kagum. Ya, sudah terkenal sebagai pelukis, dan yang paling penting terkenal sebagai anak kepada Dia.

Tapi Dia sudah lama pergi meninggalkan aku. Dia yang gila menaikkan harga lukisan setiap tahun hingga kini menjadi RM 99 juta.

Dalam ruang galeri ini juga begitu ramai orang berpusu melihat lukisan itu. Setiap hari beginilah keadaannya. Begitu ramai yang ingin memilikinya, tapi sebalik tak ada siapa yang termampu.

Garisnya yang kasar, tegas, keras dan yakin. Ramai memuji, ramai memuja. Entahkan kerana seninya, atau entahkan kerana harganya.

Sekali lagi,
Kau menang sayang...

6 komen:

Pipiyapong Abdillah Hamzah said...

:)

Lady Windsor said...

hanya jauhari mengenal manikam...

Hassan said...

salam sejahtera ..
penulisan yg menarik

ciK aRe-yaNi said...

tiada harga yang sesuai untuk penat lelah dan usaha..hanya kepuasan menjadi ukuran

aloy_paradoks said...

Pipiyapong : lu balik lipis, gua rindu.

Lady Windsor : insyaallah. cewah!

Hassan : Terima kasih,

Cik Are Yani : :-)

Anie said...

Sedap.