Aku lahir pada era 80an dikalangan masyarakat desa yang sosio ekonomi mereka adalah kekebun atau kelaut. Mereka terbahagi pada dua. Aku dibesarkan dalam keluarga yang pendapatannya adalah kelaut. Ini disebabkan keluarga aku merupakan antara keluarga yang tidak memiliki kebun. Aku memberitahu perihal ini ialah sebagai idea awal untuk menyatakan bahawa aku bukan lahir dalam keluarga yang berpendidikan dan bukan tinggal di bandar.
Corak kehidupan seharian masyarakat kampung aku pada umumnya tidak banyak aktiviti yang berubah pada setiap hari. Yang kekebun akan keluar ke kebun pada awal pagi dan balik pada tengahari ke rumah. Dalam perjalanan pulang akan singgah di kedai runcit untuk membeli ikan bagi keperluan makan tengahari. Selesai makan akan duduk bersenang dan tidur di rumah hingga ke waktu petang. Waktu petang mereka akan keluar memberi makan dan minum untuk lembu yang ditambat di mana mana yang mereka suka. Selesai itu akan pulan ke rumah, mandi dan keluar duduk duduk bersembang dikedai kopi.
Bagi mereka yang turun kelaut pula waktu kerja adalah tidak menentu terutama untuk yang turun ke laut sebenar dan bukan pesisir pantai. Pak Cik aku kadangkala akan turun ke laut pada awal pagi, lewat petang atau tengah malam. Jika turunnya dia awal pagi, akan pulang lewat petang. Jika turunnya lewat petang akan pulang awal pagi dan jika turunnya lewat malam akan pulan pada waktu tengahari esoknya.
Bagi mereka yang kepesisir pantai macam Atuk aku pula, dia akan keluar awal pagi dan balik pada waktu tengahari untuk makan serta tidur. Dan selepas itu pergi pula pada waktu petangnya. Sebagai contohnya pagi Arwah Atuk aku akan keluar untuk mencari ketam sambil membawa batang cangkuknya. Petang pula semasa air pasang dia akan meredah hutan paya bakau untuk mengutip siput sedut yang memanjat naik ketiang tiang kayu. Aku sendiri semasa kecilnya sebelum dan ketika baru baru masuk kesekolah akan mengikut Atuk aku pada waktu petang untuk mengutip siput sedut. Terbongkok bongkok lah aku meredah air laut yang masin didalam hutan paya bakau itu membawa muatan siput sedut. Pada pagi sabtu dan ahad pula akan mengikut Opah dan Atuk aku jika mereka turun ke pantai untuk mencari remis, kijin atau Lala. Hasil pencarian kami itu akan Atuk jual kemudiannya. Antara lain jika tidak ke pinggir laut, Atuk aku akan meredah hutan untuk mencari pucuk meranti. Dan aku juga tidak ketinggalan melakukan itu, meredah hutan sambil menyeret guni putih untui diisi dengan pucuk meranti, tapi sayang kadang kadang entah pucuk apa apa aku kutip, habis semua pucuk kayu aku sapu, pucuk rumput pun aku bedal jugak.
Oh ya, aku terlupa, selain dari kijin dan lala, aku juga kadangkala pada hari tidak bersekolah akan turun kelaut mencari kerang. Tali Jut akan aku sangkutkan dileher, dan tangan aku akan meraba raba kedalam air mengutip kerang dan dimasukkan kedalam jut. ketika itu hanya kepada sahaja yang kelihatan, tangan dan badan semuanya didalam air. Apabila jut telah mula berat dengan hasil kutipan kerang, itu tanda aku perlu naik dan menuangnya kedalam guni yang lebih besar yang disediakan. Balik ke rumah kerang kerang yang padat didalam guni ini akan dilonggokkan dihalaman rumah diatas hamparan kanvas. kemudian dimasukkan dalam tiap tiap beg plastik mengikut sukatan 1 Kg setiap bungkusan. Dan bahagian yang terakhir sekali aku bosan, jika ada pasar malam aku dan atuk akan berjualan di pasar malam. Yang bosannya Atuk aku akan jalan jalan atau lepak borak dengan kawan kawannya dan aku kene tunggu jual kerang sorang sorang. Tapi lepas tu, cakap je la aku nak makan atau beli apa dekat pasar malam tu, semua tak ada hal. Tapi selalunya aku tak akan nak apa apa kalau ditanya. Jadi atuk akan bagi aku duit dan aku akan beli sendiri apa yang aku nak.
Itu sedikit kisah tentang lelaki di kampung aku dan pak cik aku serta atuk aku adalah ikon yang tonjolkan. Manakala bagi masyarakat wanita pula mereka juga turut sama bekerja sama seperti kaum wanita sekarang. Cuma tidak ada punch punch kad ni la. Pagi pagi lepas anak anak keluar sekolah kaum kaum ibu akan keluar ke bangsal bangsal kelapa untuk mematik kelapa, iaitu satu proses memisahkan isi kelapa dari tempurung kelapa. Selepas dipatik akan disisik pula iaitu satu proses lain pula untuk memisahkan kulit dari isi. Isi akan dipecahkan dan dimasukkan kedalam guni putih. Kaum ibu akan bekerja hingga ke waktu petang lazimnya. Namun mereka akan pulang kerumah pada waktu tengahari bagi tujuan memasak untuk keluarga makan tengahari. Selesai memasak dan makan mereka akan keluar semula menyambung kerja kerja yang ditinggalkan. Waktu petang lori lori akan datang mengambil kelapa yang telah siap dipatik dan disisik itu tadi, buku akuan akan dibuka dan dicatatkan berapa Kilogram kelapa yang kita usahakan hari ini.
Seterusnya rekod itu akan dihitung pada pada setiap minggu dan wang akan diberikan untuk pendapatan selama seminggu itu. Fenomena biasa anak anak yang selesai waktu persekolahan akan datang membantu ibu mereka terutama untuk menyisik. Aku sendiri juga turut tidak terlepas menyisik dan mamatik bersama Opah aku dan mendapat hasilnya pada hujung minggu. Tapi lama lama bangsal depan rumah aku ditutup kerana kekurangan kelapa untuk dihantar oleh tauke kelapa dan akhirnya aku lebih suka bermain bola di padang sekolah. Selain dari itu golongan wanita juga ada yang turun ke pesisir laut sebernarnya untuk mencari hasil laut, tapi bilangan mereka tidak ramai. Sekitar yang aku tahu hanya Mak Cik Bunga sahaja yang memang itulah pekerjaannya menyara hidup, dan Opah aku yang akan turun mencari kerang apabila harga kelapa turun dan akan mematik kelapa jika harga kelapa mahal kembali mahal. Opah aku memang akan bertukar melihat mana yang lebih menguntungkan pada ketika itu.
8 komen:
sayang opah!
wah..
menggamit memori betul!
dekat mana kampong nie aloy..
kuala sepetang? pantai remis?
aku dari yang ke kebun.ada juga susahnya.binatang buas dan bisa banyak, tak dikira penyakit tanaman lg.tapi yg ke laut atau ke kebun,dua-dua capai kepuasan dalam mencari rezeki, tak macam kerja ofis, aku rasa.
nostalgik...
sekarang mana nak dapat dah...
gempak..tetibe je gua ingat kpg..
Boneka :
oh ye ke///
Lelaki ini :
lebih kurang la,
MasZuber :
Bagan Datoh je,, tak sampai ke kuala sepetang.
Yang Indah :
kerja ofis letih otak kot? ye ke?
Jo :
ada jugak, tapi hasilnya tak macam dulu, hidupan laut makin pupus, ada sikit je, tak puas.
Triple X :
gempak tak kampung gua? kampung lu ada?
ada 3 soalan:
1. kijin tu cemane rupe?
2. tali jut tu cemane rupe?
3. pandai ke main bola? cemane rupe?
hahaha
Post a Comment